Sunday, May 18, 2014

Kau bertemu Sang Pencinta

Cerita ini aku nukilkan buatmu bukan kerana aku seorang penulis, tetapi kerna kau seorang penulis

            
             Di pagi Subuh yang dingin lagi mencucuk dan langit masih lagi bersalut hitam malap, tubuhku bergegas bangun bersiap untuk menyahut rinduan Ilahi, meninggalkan pelukan selimut dan bantal yang empuk tuntas terus menjamah tusukan sejuknya air mutlak di ruangan Wudu' Masjid Universiti Malaysia Pahang, Gambang. Aku merasakan pada waktu itu, aku perlu melakukan sesuatu yang sebelum ini bukan menjadi kebiasaanku dan bukan juga menjadi kekuatanku. Seusai mendirikan solat 2 rakaat berjemaah yang di sertakan dengan Doa Qunut, aku kuatkan diri untuk mengetuai bacaan Al-Mathurat yang di temani sebilangan teman, senior dan orang-orang masih bertautan hati kepada Sang Pencinta. "Alhamdulillah, berjaya" bisik hati ini setelah berminggu-minggu lama tidak menjejakkan kaki ke ruangan Solat Imam untuk menyumbangkan sedikit ilmu biarpun tutur ku agak kaku dan bersenada. Pagi itu, Allah memberikan aku kekuatan untuk melakukan sedikit kebaikan.
             
---------------------------------------------------------------------------------------------

             Tugasan penting membangkitkan aku dari lena dalam keadaan sentak. "Allah... dah pukul 10.30........" kata ku pada diri. Aku terus meluru ke kerusi hijau untuk membuka "mukabuku", bukan untuk meng"update" dinding tersebut tetapi untuk menyemak kembali masa bermulanya tugasan tersebut. Belum sempat aku membelek group Program ICT Felda, aku di terjah dahulu dengan status yang lebih kurang berbunyi "Assalammualaikum, berita penting, seorang sahabat kita Shaiful Idlan telah meninggal dunia pagi tdi.......". Diri terpaku seketika seakan tergamam membeku dengan status FB yang aku lihat itu. Hati ini sedikitpun tidak percaya dengan kenyaatan tersebut, lalu ku terus membelek beberapa status dari sahabat-sahabat terdekat untuk mendapatkan kepastian yang sahih. "Allahuakbar....." dengan nada yang rendah. Aku terus persiapkan diri tanpa mempedulikan FB yang berada di hadapanku dan terus meluru ke bilik sahabatku yang lain. Aku yakin mereka sekepala dengan ku ketika itu, atas tujuan ingin menziarahi kediaman arwah di Temerloh.

---------------------------------------------------------------------------------------------

             Gegas aku berlari menaiki kereta Viva berwarna perak meninggalkan Blok M yang ketika itu sedang berlangsungnya sesi pengenalan berkaitan Multimedia kepada murid-murid Sekolah Lepar Hilir. Tidak ku tinggalkan kosong program itu melainkan dengan mencari penganti serta memberi sedikit ucapan pengenalan aku kepada adik-adik dari Sekolah Lepar Hilir itu berkaitan Multimedia. Dengan izin pengarah program, aku di beri pelepasan untuk bersama-sama temanku pergi ke Temerloh. Dalam keriangan sahabat-sahabatku bergurau senda, barangkali ingin menghilangkan suasana muram sayu dalam kereta, aku masih dalam keadaan hambar memikirkan "Bagaimana ini boleh berlaku?" serta harapan yang tinggi aku letakkan agar dapat menatap dan mencium beliau buat kali terakhir. Besar harapan ini untuk aku tidak terlambat menziarahi susuk tubuh arwah walaupun dalam hati kecil ini berasa sangat tidak adil kerana beberapa orang lagi yang juga sahabat kepada arwah tidak dapat pergi menziarahi beliau kerana atas dasar amanah yang jauh lebih besar dan bersifat lebih utama. Apa yang lebih menyentuh hati ini bilamana orang yang tidak dapat hadir itu adalah orang yang paling rapat dengan beliau.

---------------------------------------------------------------------------------------------

           Seusai membaca surah Yasin serta tahlil ringkas di kediaman arwah, masing-masing mengambil posisi masing-masing sementara menunggu ketibaan mayat arwah yang pada ketika itu pihak HOSHAS baru sahaja selesai postmortem dan menunggu keputusan untuk di hantar mayat arwah ke kediaman beliau. Aku bersama teman-teman yang lain telah sepakat untuk menunggu mayat arwah di masjid Al-Kauthar kerana telah di maklumkan oleh pak cik arwah bahawa, mayat arwah akan di hantar terus ke masjid itu untuk di laksanakan solat jenazah. Ketibaan kami di masjid Al-Kauthar tersebut yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari kediaman arwah di sambut dengan laungan azan Asar yang semestinya menyahut semua para muslimin serta muslimat untuk menuju kejayaan yang di janjikan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang soleh. 

            Tidak di sangka... itulah perkataan boleh aku lontarkan apabila melihat respon orang ramai sesudahnya menunaikan solat Asar secara berjemaah. Seorang tokoh yang di hormati, di segani serta di yakini ilmunya iaitu Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man yang juga sebagai selaku Naib Presiden 2 Pas Pusat telah turun bersama untuk menziarahi arwah serta mengimami solat jenazah arwah. Berpusu-pusu orang sekeliling bersalaman dengannya untuk mengambil keberkatan perjuangan serta ilmunya. Keadaan ini menjadikan diri ku merasakan suatu kekaguman terhadap dirimu wahai sahabat. Kau orang yang istimewa. Bukan sahaja di mata rakan-rakanmu sahaja, tetapi di mata masyarakat sekeliling juga. Begitu tinggi darjat yang telah Allah angkat buat dirimu... Allahyarham Shaifullah Idlan bin Rozlan.

            Anggaran masa lebih kurang pada pukul 6, tibalah van jenazah arwah yang mengangkutnya dari HOSHAS ke masjid tersebut. Mayat arwah di usung terus ke hadapan jemaah tanpa di lengah-lengahkan dan terus di laksanakan solat jenazah yang di imamkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim. Selesainya solat jenazah, dengan sesegera mungkin mayat arwah terus di usung menaiki van jenazah untuk di kebumikan di tanah perkuburan. Sungguh, aku merasakan hati ini memberontak kerana tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir, sedangkan itulah harapan besar aku dari mulanya aku mendengar perkhabaran pemergian arwah semasa dari Universiti Malaysia Pahang, Gambang lagi. Agak terkilan ketika itu tapi apakan daya. Sebagai pengubat hati, aku pergi berjumpa dengan ayah arwah untuk bersalaman serta memeluknya sambil mengucapkan takziah atas pemergian anaknya yang soleh serta thabat dalam jalan Allah.

---------------------------------------------------------------------------------------------

            Pusaramu di penuhi dengan orang-orang di hatinya untuk Allah. Setiap langkahku ke pusara arwah masih lagi meletakkan harapan untuk melihat wajah arwah secara live buat kali terakhir. Titipan Al-Fatihah serta doa buat arwah kedengaran sepanjang laluan ku ke pusara arwah. Tidak terlepas juga tangisan air mata yang mengalir di pipi-pipi insan yang  merasakan sedih di atas pemergiannya seorang insan yang bukan calang-calang hebatnya serta menjadi kekaguman orang-orang yang mengenalinya. Harapan itu masih belum padam. Aku cuba menyelit dari satu orang ke satu orang sehinggalah aku berjaya melihat susuk tubuh arwah yang telah pun di paut untuk di letakkan ke liang lahad. Wajah arwah masih lagi berbalut dengan kain kafan yang di lapisi dengan dengan 3 lapisan. "Alhamdulillah" bisik hati. Akhirnya permintaanku di makbulkan oleh Allah. Lapisan kain kafan itu di buka satu persatu di bahagian muka arwah oleh insan yang sedang memauti beliau. Kesempatan ini aku gunakan sebaiknya untuk menatapi wajah arwah buat kali terakhir. 
           
            Pucat lesu wajah mayat yang kebiasaannya terlihat jua. Wajah pucat arwah kelihatan tenang. Tanpa di tahan lagi, bercucuran jua air mata yang sebelum ini ku cuba pendamkan sepanjang diriku melihat susuk tubuh arwah. Seakan pantas masa itu berlalu. Ku tatap wajah arwah yang tidak sampai sepuluh saat yang mana tubuh arwah terus di letakkan ke liang lahat untuk di kebumikan. Satu papan yang agak lebar di gunakan untuk menutup tubuh arwah yang berada di liang lahat. Air mata yang belum habis membasahi pipi ini ku kesat kerana bagiku tangisan bukanlah sesuatu yang boleh menghilangkan kepiluan hati ini tetapi ianya akan lebih menjadikan kepiluan hati ini bertambah. Arwah selamat di kebumikan pada pukul 6. 57 petang, bertarikh 14 Mei 2014 bersamaan yang juga bertarikh 14 Rejab 2014. Tarikh yang bagiku agak unik yang telah Allah kurniakan kepada mu. Mungkin sebagai satu tarikh untuk di ingati oleh pejuang-pejuang jalan Allah dan menjadi contoh kepada orang-orang yang berjuang. Wallahualam. 

           Hatiku agak terguris sedikit asbab tidak dapat menyumbang tenaga semasa pengebumian arwah kerana belasan teman-teman arwah berebut untuk membantu semasa proses pengebumian beliau. "Dirimu begitu dekat dengan hati teman-temanmu wahai sahabat ku" detik hati berbicara. Selesai sahaja pengebumian arwah, aku terus ber"SMS" kepada beberapa orang sahabat yang tidak dapat hadir menziarahi arwah termasuk anak usrah arwah yang antara paling rapat dengan beliau sebagai pemberitahuan bahawa beliau telah selamat di kebumikan. "Krik Krik" handphone ku bergetar. "Alhamdulillah, terima kasih abang atas berita" respon salah seorang penerima "SMS" itu. Kata-kata yang tenang itu belum tentu mengambarkan isi hati sebenarnya ketika itu. Lalu kami pun pulang terus kerana masih terdapat amanah yang perlu di selesaikan.....



Kediaman arwah



Masjid Al-Kauthar adalah tempat arwah di solatkan



Kawasan perkuburan tempat arwah di kebumikan.



Al-Fatihah buat arwah Shaifullah Idlan Bin Rozlan. Semoga di tempatkan di kalangan orang-orang yang berjuang di jalan ALLAH.. Amin